Islamic Widget

Saturday, May 28, 2011

Motivasi: ketakutan yang menggerakkan kekuatan


Takut yang biasa, menghilangkan kekuatan. Takut kepada Allah, memadamkan kelemahan. ~ 
Takut sering dipandang negatif.

Orang yang mempunyai takut, sering dipanggil sebagai pengecut. Takut dilihat sebagai pelemah dan pengurang kepada kekuatan.

Tetapi sebenarnya, di dalam kehidupan ini, ada satu ketakutan yang manusia perlukan. Bahkan, ketakutan ini menambahkan kekuatan, bukan melemahkan. Bahkan, ketakutan ini memberikan banyak kebaikan kepada manusia dan menjauhkan manusia daripada pelbagai keburukan.

Itulah dia takut kepada Allah SWT.



Manusia itu terbang dengan dua sayap

Syeikh Muhammad Audeh Al-Hawari, pakar ilmu hadith di Universiti Yarmouk, tatkala mengajar Petunjuk Nabawi di dalam Adab dan Pelembut Hati, pernah menyebut:

“Manusia itu ibarat burung yang terbang dengan dua sayap. Tetapi sayap manusia adalah Takut dan Mengharap kepada Allah SWT.”

Takut hakikatnya adalah elemen penting. Takut menyebabkan kita tidak akan melepasi sesuatu garisan yang ditentukan oleh yang ditakuti oleh kita. Takut menyebabkan kita tidak akan membuat sesuatu perkara yang telah dilarang oleh yang ditakuti oleh kita.

Takut menyebabkan kita tunduk. Takut menyebabkan kita taat.
Sekiranya kita bergerak di atas ketakutan kepada Allah SWT ini di dalam kehidupan kita, maka tidak adalah yang datang kepada kita melainkan kebaikan, dan tiadalah yang ada pada kita melainkan keberanian.

Siapakah yang takut kepada Allah SWT?

Namun siapakah yang takut kepada Allah SWT?
Saban minggu, kita perasan bahawa khatib jumaat akan lazimnya memulakan khutbah dengan berkata: “Ittaqullah…” yang membawa maksud asalnya: Bertaqwalah kamu kepada Allah. Juga boleh diterjemahkan sebagai takutlah kamu kepada Allah SWT. Tetapi siapakah yang benar-benar takut kepada Allah SWT?


“Tidakkah kamu melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, kemudian Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan pelbagai jenisnya. Dan antara gunung-ganang itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada pula yang hitam pekat. Dan demikian pula antara manusia, binatang melata dan binatang ternak, ada bermacam-macam warnanya(dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hamba-hambaNya adalah dari kalangan ulama’(yang berilmu). Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” Surah Fathir ayat 27-28.

Dapat dilihat di sini, yang takut kepada Allah SWT, adalah yang berusaha mengenali Allah SWT itu sendiri. Yang tahu akan kekuatanNya. Yang tahu akan keperkasaanNya. Yang tahu apa yang Dia boleh lakukan. Yang tahu akan kekuasaanNya. Sebab itu jika kita perasan, ayat ini dimulakan dengan menunjukkan keperkasaan Allah, kekuasaanNya, kemampuanNya dalam menciptakan pelbagai perkara.

Maka apakah kesusahanNya untuk menurunkan azab kepada kita? Apakah yang akan menghalangNya daripada menghapuskan kita? Siapakah yang mampu menyelamatkan kita daripada kemurkaanNya? Tiada. Jawapannya adalah tiada.
Tetapi yang menyedari hal ini, hanyalah yang mengenaliNya. Yang berusaha merapatiNya.
Tanpa ini, takut itu tidak akan hadir kepada kita.

Takut yang ajaib

Mengapa perlu diwujudkan ketakutan ini?
Bagi saya, ketakutan kepada Allah ini adalah antara motivasi terulung dalam membina kehidupan yang baik. Hal ini kerana, apabila kita menyedari keperkasaan Allah SWT, kita akan menjadi teragak-agak untuk mengingkariNya bukan?
Apabila kita tahu akan kekuatan Allah SWT, dan kita amat takut kepadaNya, kita menjadi tidak takut kepada yang selainNya bukan? Sebab takut kita kepada Allah, melebihi ketakutan kita pada yang selainNya.

Apabila kita mempunyai rasa takut ini, maka datanglah kekuatan kerana hilangnya ketakutan kita ke atas perkara lain. Apabila kita dapat menggenggam rasa takut ini, maka datanglah semangat melakukan kerja kerana kita tahu akan akibat sekiranya kita mengingkariNya.
Ajaibnya takut ini, takut ini tidak memberikan kelemahan. Bahkan, ketakutan ini memberikan kekuatan. Memberikan semangat bekerja. Menjadikan kehidupan kita satu kehidupan yang bersih dan baik.

Tidak cukup dengan itu, akhirat kita juga akan terjamin.
Allah SWT berfirman:
“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Rabbnya, dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal untuknya.” Surah An-Naziat ayat 40-41.
Menarik bukan ketakutan ini?


Penutup: Hari ini, ketakutan ini hilang. Maka yang ada hanyalah kelemahan.

Hari ini, kita banyak takut perkara lain, melebihi ketakutan kita kepada Allah SWT. Atau kebanyakan kita hari ini, rasa takut kepada Allah itu telah hilang. Menyebakan kita melanggar banyak perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Hal ini memberikan kelemahan kepada manusia.

Kita sanggup tunduk kepada manusia, ikut kata-katanya, kerana kita takutkannya. Sanggup tunduk sehingga walaupun apabila diarahkan untuk melanggar perintah-perintah Allah SWT, kita tetap ikut bagai lembu yang dicucuk hidungnya.

Tidak takut kepada Allah menyebabkan kita ‘curi tulang’ dalam banyak hal apabila berseorangan. Tidak takut kepada Allah, menyebabkan kualiti kerja, amalan kita berkurangan.
Hari ini, kita dididik untuk menakuti perkara lain melebihi Allah SWT. Ataupun, kita dididik untuk tidak takut kepada Allah SWT. Akhirnya di manakah kita sekarang?
Di manakah kita?

Maka adalah sepatutnya, ketakutan ini dikembalikan ke dalam jiwa-jiwa kita. Dan kita akan perhatikan betapa kita akan naik setinggi-tingginya, dengan ketakutan kepada Allah SWT yang tersemat kemas di dalam jiwa.

Sunday, May 22, 2011

Jiwa hampa tanpa cinta..Hati hampa tanpa iman..



Cinta...cinta itu indah selagi kita tidak menodainya....
Cinta itu fitrah dan memang indah dirasakan....

hayatilah dan fahamilah cerita ini.....


Siti Syazwani. Happy Birthday! Semoga
kamu akan sentiasa dirahmati Nya… All
the best in everything you do… Jaga

diri & iman baik-baik yea~…
-Amin, UK-"


Aku mencapai telefon mobilku dan membelek-belek SMS ucapan hari lahir yang diterima minggu lepas. Cukup ringkas. Namun, aku masih tertanya-tanya mengapa Amin hanya mengirimkan SMS sahaja kali ini? Jika tidak, tahun-tahun sebelum ini pasti sudah ada kad besar dan bermuzik akan tiba beberapa hari sebelum hari lahir ku. Dah la pakai nombor orang lain, siap tulis nama penuh aku pula tu. Tak pernah pula dia tulis macam ni… Ish, hati mula ragu-ragu. Menyangka sesuatu yang tak baik sedang berlaku.

Adakah dia sudah ….? Argh, tak mungkinlah! Dia dah kata takkan ….

Aku teringat ketika dia pulang bercuti pada musim summer tahun lepas. Namun, sebelum itu aku sudah rasa banyak perubahan berlaku pada dirinya. Dia telah mula banyak memberi nasihat- nasihat baik ketika kami berhubung samada melalui telefon, SMS, email, YM dan juga friendster. Dan ketika itu, aku mendapat cuti seminggu dan telah bercadang untuk turun ke KL dengan kakak melawat saudara-mara, dan sambil-sambil itu bolehlah juga berjumpa dengan si Amin. Setahun sekali tak salah rasanya. Melepas rindu la sedikit. 'Boring' juga kalau asyik berhubung melalui telefon saja. Lagipun Kuantan-KL sekarang boleh travel dalam 3 jam 1/2 dah. Ulang-alik setiap hari pun boleh.

Di KL, aku telah menghubunginya dan cuba mengajak untuk berjumpa. Dia menolak ajakan aku untuk keluar
berjalan-jalan daripada pagi sampai ke petang. Dia hanya boleh berjumpa dengan ku seketika sahaja pada petang hari. Walaupun dia beralasan sibuk, tapi aku tahu dia taklah sesibuk mana. Nak tak nak, aku terpaksalah menerima sahaja cadangannya. Asal boleh berjumpa, ia sudah cukup bagi aku. Dan petang itu kami taklah ke mana-mana sangat. Ronda-ronda sahaja dengan kereta Wira kesukaannya itu. Selepas ber-Asar di Masjid Wilayah, Amin membawa aku ke sebuah restoran dan kami makan 'early dinner' di situ.Kemudian, satu detik yang agak 'mengingatkan' bagi aku adalah sewaktu kami dalam perjalanan menghantar pulang aku ke rumah saudaraku…

Dia ada bertanya "Apa beza kita dengan dia orang kat situ tu ye?" Amin menunjuk-nunjuk ke arah beberapa pasang 'couple' yang sedang lepak berdua-duan di tempat-tempat duduk sepanjang sebuah taman. Aku tergamam sekejap. Huh. Agak menduga, tapi 'simple' saja. "Ala, kita ni baik sikit. Tak ada pegang-pegang. Tutup aurat elok. Sampai waktu solat, kita solat. Erm… Islamik sikit la pendek cerita!."

"Hmm.." Amin hanya mengangguk-angguk.

"Dalam Islam ada ke macam ni?" Amin menduga lagi.

Erk… Semakin terkesima aku dibuatnya. Kali ini aku terus diam terpaku. Aku tahu dia lebih banyak tahu selok-belok masalah benda-benda macam ini. Kalau aku jawab lagi, mesti dia 'counter' lagi. Huh. Diam sahaja lah!

"Erh, abaikan je lah. Saja je saya tanya…" Amin cuba menyedapkan hati.

Tidak lama selepas Amin terbang pulang semula ke UK untuk menyambung sesi pelajarannya yang baru, dia ada menghantar satu email kepada ku untuk menerangkan kedudukan dan tujuan dia bertanya akan hal itu. Aku sudah mula faham sedikit-sebanyak yang aku perlu mengawal hubungan yang masih tidak 'rasmi' ini. Dan sejak daripada itu dia tidak pernah langsung menelefon aku. SMS pula hanya bertanyakan tentang pelajaran sahaja. Itu pun boleh dibilang dengan jari. Namun, aku bersyukur dan gembira kerana dialah yang membuat aku berubah untuk jadi lebih baik dan lebih faham Islam. Jika dulu pakaian aku agak ketat dan singkat, kini sudah banyak yang labuh dan longgar aku beli. Tudungku pun pernah ditegurnya agar melabuhkan ke bawah dada. Dialah yang memperkenalkan padaku apa itu usrah dan dakwah. Dia juga ada berpesan - 'Jaga hubungan dengan Allah tu lagi penting. Insya Allah, kemudian Dia akan jaga hubungan kita.'

Jadi, apakah yang akan berlaku selepas ini? Hatiku masih tak tenteram memikirkan SMS ucapan hari lahir itu.

Macam-macam sangkaan buruk bermain-main dalam hati yang mula busuk ini. Aku masih setia menanti kepulangannya.Dan aku yakin dia juga setia pada aku.Aku tak pernah memikirkan lelaki-lelaki lain selain dia. Dan aku yakin dia juga tak pernah nak menggatal dengan perempuan-perempuan lain. Dia taklah seperti kebanyakan lelaki yang 'playboy' pada masa kini.




Ops! Mungkin agak kasar untuk berkata sedemikian.

'Tuuut. Tuuut...' Nada dering SMS
berbunyi. Nombor Amin yang terpapar.

"Esok free tak? Boleh kita chatting?"

"Boleh... Saya free je." jawab aku ringkas. Erm, mesti dia saja nak buat 'surprise.' Aku dah agak dah,
takkanlah dia hantar SMS saja untuk 'wish birthday' aku. Keyakinan aku mula bertambah. Dia masih sayang
padaku.

"Ok.Tq..." balasnya pula.

Keesokannya, aku menanti awal dia online.

'Tuk. Tuk. Tuk..' Amin has signed in.

Oh, tepat sungguh waktunya...

Amin: assalamualaikum wbt.

Wani: waalaikumussalam…

Amin: apa khabar? sihat? iman baik?

Wani: alhamdulillah... sihat2..=) awak?

Amin: alhamdulilah… baik2 juga… iman selalu turun naik sejak kebelakagn ni…tp takpe, ok je semua

Wani: awak tak balik ke tahun ni? btw, thanks for the bsday wish last week...

Amin: welcome… tak balik. byk kerja sikit tahun ni… lagi pun saya nak try bekerja… cari duit...

Wani: wah, rajinnya... baguslah!

Amin: hurm...

Amin: study macam mana?

Wani: ok je... new sem ni berat sket..Jadual pack.

Amin: owh i see...

Amin: takpe, study rajin2 ye..

Amin: hurm, dah lama nak tanya ni sebenarnya…

Amin: hurm…

Wani: apa dia? tanya la… sila2..

Amin: 1st of all sorry dulu ye… hurm, apa pendapat awak tentang kita sekarang?

Wani: erh… macam awak kata dalam email tu dulu yang kita ni kan ‘kawan’… tak lebih daripada tu… tp, special sikit…tiada couple-couple mcm org lain…declare pun tak kan?

Wani: so, statusnya kawan je la…

Amin: hurm……..

Wani: erh, tak betul ke?

Amin: hurm.. ni opinion je la - antara lelaki dan perempuan yg bukan mahram, tiada perhubungan yang lebih akrab melainkan hubungan suami isteri shj…yg lain2.. atas alasan aper skali pun ia tak patut diterima..

Aku tergamam seketika. Tertampar keras juga rasanya…

Wani: jadi…

Amin: saya rasa kita harus stop… stop untuk berpisah…

Amin: sbb……

Amin: sbb saya sedar yg semua ini adalah salah dan juga saya keliru…

Amin: benda ni akan buatkan hati ternodai… zina hati akan banyak berlaku…

Amin: walaupun kita jauh, tak call, tak jumpa dll, tapi hati tetap ber’zina’…

Amin: huh…

Amin: saya bercakap itu dan ini pada org ramai… tapi, dalam masa yang sama saya meyelindungi sesuatu yang tak sepatutnya saya buat…

Amin: kononya Islamik…

Amin: saya rasa cara ni tak betul… kita sbnrnya yang dah menyarungkan benda yg tak baik ni dgn Islam… then,org nampak Islamik…

Amin: saya rasa takde beza pun kita dgn org lain yg duk ber’couple2’ ni..

Amin: hurm…..

Amin: jadi, saya rasa kita harus berpisah…

Amin: demi menjaga diri…& sama-sama untuk kembali harungi hidup dalam redha Ilahi…

Amin: sorry… sorry byk2 untuk segala apa yang telah kita buat…

Amin: dan sorry juga sbb telah membawa awak ke jalan yang lupa pada-Nya…

Amin: andai ada jodoh, moga dipertemukan…

Astaghfirullahalazim… Aku beristighfar panjang. Ku kesat peluh di dahi… Air mata jahiliyah ku deras menitis

membahasi meja. Sedikit terpercik pada keyboard laptop. Aku tak sangka perkara seperti ini akan terjadi

sepantas ini. Ringkas, lembut,berhikmah serta points-nya yang jelas membuat aku tak dapat membantah dan
berkata-kata. Sedih, pilu, kecewa, dan sesekali timbul rasa kesal pun ada.Tapi, semua itu tak bermakna lagi…

Aku tak mampu lagi untuk menyambung perbualan tersebut. Ku pasrah dan terima sahaja keputusan yang dibuat oleh Amin itu. Di saat ini, hanya Allah yang bisa mendengar bisikan hati rapuh ini. Dialah juga tempat ku pohon keampunan atas segala kekeliruan yang telah aku timbulkan. 

Rupanya selama ini aku telah tertipu dengan biskan musuh, mengikut jalan taghut,mencampurkan halal dan haram, serta mengandunkan yang Islam dan al-hawa…

Cinta hakiki hanyalah pada Allah…


Tiba-tiba aku teringat hadis halawatul iman yang pernah dibincangkan oleh naqibah aku tak lama dahulu; pertama-tama sekali mestilah mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada makhlukNya, kemudian mencintai

seseorang itu hanya kerana Allah dan akhir sekali, mesti benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana
ia benci dicampakkan dirinya ke dalam api neraka. Dengan demikian barulah dapat merasai kemanisan iman itu.

Hanya Allah sahajalah yang layak memberi hidayah kepada sesiapa yang dikhendakiNya. Moga-moga Dia kuatkan dan teguhkan hatiku menghadapi dugaan ini dan moga-moga diringankan beban yang ku pikul ini.

Aku terus menjawab ringkas….

Wani: thanks & sorry too… saya terima…Alhamdulillah…

Wani: moga awak bahagia dan sukses selalu di sana. doakan saya juga.

Wani: wassalam.

Signed out

Aku merasakan hubungan tiga tahun yang terbina itu memang salah pada dasarnya. Bagaimana mungkin ia dapat mewujudkan sebuah keluarga yang menjunjung Islam jika asasnya terbina melalui cara al-hawa? Ya, kami memang saling menasihati dan bertazkirah, saling mengejut Qiamulali, saling menghantar SMS ayat-ayat Quran serta hadis, tapi semua itu memang tak betul caranya… Aku sedar yang kami telah mempergunakan Islam untuk mencapai matlamat peribadi… Astaghfirullah.. Syukur pada Mu ya Allah kerana lekas mengembalikan ku pada jalan redha-Mu.

“Sayang… Cepat turun ni. Nurul dah nak sampai.” Ops! Tersedar daripada lamunan kisah 15 tahun lepas itu

tatkala mendengar sahutan suamiku, Muhammad Ramadhan untuk bersiap menyambut tetamu istimewa kami Nurul dan Amin.

“Ya bang, Wani turun…”

Alhamdulillah… Siap semuanya. Aku menutup lid laptopku dan bergegas turun ke bawah. Aku sudah bersedia untuk membentangkan ‘presentation’ kepada beliawan-beliawanis negara mengenai Cinta Remaja dalamprogram ‘Belia Negara 2057’ esok. Aku sangat bersyukur menjadi siapa diri aku sekarang ini dan aku mengharapkanbelia-belia harapan negara dapat kembali kepada cara fitrah yang sebenar dalam menguruskan soal cinta.

Friday, May 20, 2011

Bencana Gempa/Tsunami Di Jepun Petanda Akhir?



Firman Allah swt sebagai renungan atas bala dan musibah yang menimpa manusia:

“Dan tidak adalah Tuhanmu membinasakan kota-kota, sebelum Dia mengutus di ibukota itu seorang rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota-kota kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.” (QS. Al Qhashash, 28 : 59) 

FirmanNya lagi: 
“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS. Hud : 117)

FirmanNya lagi: 
“Mengapa Allah akan menyiksamu, jika kamu bersyukur dan beriman? Dan Allah adalah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui.” (QS. An Nisaa : 147) 

FirmanNya lagi: 
“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” (QS. Al Isra, 17 : 16) 

FirmanNya lagi: 
“Tak ada suatu negeripun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuzh).” (QS. Al Isra, 17 : 58) 

FirmanNya lagi: 
“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar dari dosa-dosamu.” (QS. As Syura, 42 : 30) 

FirmanNya lagi: 
“Dan Allah Telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezkinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; Karena itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.” (QS. An-Nahl, 16 : 112) 

FirmanNya lagi: 
“Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan? Yaitu neraka Jahannam; mereka masuk kedalamnya; dan Itulah seburuk-buruk tempat kediaman.” (QS. Ibrahim, 14 : 28-29)

FirmanNya lagi: 
“Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan dimuka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat yang diderita oleh orang-orang yang sebelum mereka? Orang-orang itu lebih kuat dri merka,mereka telah mengolah bumi dan memakmurkannya lebih banyak dari apa yang mereka makmurkan.Dan telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan dan bukti-bukti yang nyata.Maka Allah sekali-kali tidak berlaku dzalim kepada mereka ,tetapi merekalah yang berlaku dzalim terhadap dir mereka.Kemudian akibat orang-orang yang melakukan kedurhakaan dan kejahatan adalah azab siksa yang lebih buruk, karena mereka mendustakan ayat-ayat Allah dan mereka selalu memperolok-olok.” (QS. Rum, 30 : 9-10). 

Sedikit Komenter Isu Gerak Gempa/ Tsunami Di Jepun

Kejadian gempa bumi di darat dan di laut (Tsunami) yang sedang melanda Jepun sekarang serta New Zealand beberapa bulan yang lalu mungkinkah ianya gempa bumi yang akan berlaku sebagaimana sabdaan Nabi saw? Namun bila kita perhati dan amati maka berkemungkinan gempa bumi ini bersabit dari sabdaan Nabi saw yang berbunyi :

Dari Huzaifah bin Usaid ra bahawa Rasulullah saw telah bersabda , “Sesungguhnya kiamat tidak akan terjadi sehingga kamu melihat sepuluh tanda . . . . .” Kemudian baginda menyebut antara lain “dan tiga gempa bumi iaitu gempa di wilayah timur, di wilayah barat dan di Jazirah Arab.” (Shahih Muslim Syarah Nawawi 18:27 – 28)

Dari Ummu Salamah r.aha, ia berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “ Sesudahku nanti akan terjadi gempa bumi di Wilayah Timur, gempa bumi di wilayah Barat dan gempa bumi di Jazirah Arab.” Saya bertanya,” Wahai Rasulullah saw apakah bumi akan digempakan padahal di dalamnya masih ada orang-orang yang saleh?” baginda menjawab, “ Apakala penghuninya telah banyak melakukan keburukan.”
(Tabrani di dalam Ausath sebagaimana kata Al-Haitsami dalam Majmu’uz Zawaid 8:11. Beliau berkata sebahagian hadis ini tersebut didalam kitab Shahih. Dan hadis ini di dalam sanadnya terdapat Hakim bin Nafi’ yang dianggap kepercayaan oleh Ibnu Ma’in tetapi dilemahkan oleh yang lain . Sedangkan perawi-perawi yang lain kepercayaan.”)

Sesetengah ulama mengatakan kejadian ini telah pun berlaku namun sebahagian ulama mengatakan ianya belum berlaku lagi. Antara yang berkata demikian adalah Syeikh Asyarif Al-Barzanji, manakala Ibnu Hajar mengatakan, “Sesungguhnya telah dijumpai pelbagai gempa dan tanah runtuh di berbagai tempat, tetapi yang dimaksudkan dengan tiga gempa ini adalah lebih besar dan lebih luas wilayahnya daripada yang sudah terjadi itu.” (Fathul Bari 13:84)

Pendapat ulama yang sependapat dengan Ibnu Hajar ini diperkuatkan oleh hadis yang mengatakan bahawa ketiga gempa itu terjadi apabila kerosakan dan maksiat telah bermaharajalela di kalangan manusia.

Maka jika ianya betul maka kita tunggu gempa di Barat. Apakah Barat yang dimaksudkan adalah Eropah ataukah yang dimaksudkan adalah di sebelah barat dari arah bumi Mekah dan Madinah. Jika ini yang dimaksudkan maka berkemungkinan Barat dimaksudkan adalah di Benua Afrika.

Bila ini berlaku dan disokong pula oleh huruhara yang terjadi di beberapa Negara Arab sekarang ini seolah-olah menunjukan petanda yang kita hampir-hampir berada di era penghujung dunia. Di era kedatangan Mahdi, Dajjal, Nabi Isa a.s , Yajuj dan Makjuj dan lain-lain petanda akhir zaman.

Sehelai Jeans USD 60,000.00?? Iman dan taqwa??

Semata Untuk Sehelai Jeans USD 60,000.00


"Ever wonder what $60,000 jeans feel like? You'll never know. Because you didn't buy that $60,000 pair of Levis 501s from 1890 -- the most paid for a pair of jeans, ever."(Yahoo News : 3 April 2011)

Bila mana manusia sudah cintakan dunia maka mereka sanggup korbankan hanya untuk sepasang seluar Jeans Jenama Levi's sehingga USD 60,000.00.

Namun begitu sebaliknya jika manusia cintakan akhirat maka manusia yang beriman lagi taqwa juga akan korbankan meski pun nyawanya untuk agama Allah swt. Sahabat Nabi r.hum telah membuktikannya.

Inilah bezanya diantara golongan beriman dan tidak beriman. Renungilah.

Monday, May 9, 2011

Belajar? belajar? dan belajar??

Belajar...

Sejak kecil hinggalah besar, kita tidak pernah lari daripada belajar.

Biarpun habis belajar di menara gading, kita masih belajar. Belajar bukan sahaja terhad di dalam kelas tetapi juga di luar kelas. Kita belajar bukan sahaja melalui buku tetapi juga melalui guru, kawan, keluarga, kesilapan ... pengalaman. Sesungguhnya Allah mengajar kita melalui perantaraan di mana, guru-guru, pensyarah, gerak-geri mereka, kata-kata mereka, ditentukan Allah SWT, dari Allah juga, digerakkan dengan kuasa Allah jua.

Namun, tatkala kita dilalaikan dengan keseronokan duniawi dan tatkala hidup kita sering dipenuhi dengan tuntutan ilmu duniawi, tidak mustahil akan tiba suatu ketika di mana kita merasakan bosan untuk belajar. Kegagalan dan kepayahan belajar juga boleh menyebabkan kita rasa putus asa untuk belajar.

Di waktu timbulnya perasaan ini, di waktu itulah kita sudah tewas dengan bisikan syaitan di mana di waktu itulah, kita sudah lupa akan tujuan sebenarnya kita harus belajar... Dan apabila, ini terjadi, akan tiba suatu masa di mana kita akan mencari-cari tujuan kita belajar, menamatkan kebuntuan yang wujud, dan di situlah, pelbagai idea mengisi ruang pemikiran manusia. Di situla, pemikiran manusia diisi dengan matlamat seperti, ingin buktikan kebolehan diri, ingin bersaing, menghendaki penghormatan, ingin membalas jasa, ingin mengelak kegagalan, ingin mendapat biasiswa, kerja yang bagus, etc. .... Biarpun, ada kebaikan pada sebahagian daripada matlamat-matlamat itu, namun matlamat-matlamat itu masih kabur, tidak berpandangan jauh, tidak boleh mensucikan manusia, tidak boleh menjamin kebahagiaan manusia.... 

Kerana sesungguhnya tidak ada satupun matlamat yang dapat menandingi matlamat yang satu ini iaitu KERANA ALLAH SWT. Di sebalik niat inilah, terkandung tanggungjawab-tanggungjawab mulia yang meluas yang terpikul di bahu manusia yang menyebabkan perjalanan dan perjuangan hidup manusia tidak akan henti di satu titik tetapi akan berterusan selagi mana hayatnya masih ada. Kita beribadah untuk beribadah kepada Allah. Dalam perkataan lain, kita buat sesuatu yang diredhai Allah supaya kita dapat melakukan tugas lain yang diredhai Allah.

Hidup kerana Allah ini sangatlah bersesuaian dengan fitrah manusia dan ini adalah kerana sudah memang menjadi sebab kita mula-mula diciptakan. Firman Allah swt.

"Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu"51:56

Malah, makna Islam sendiri ialah menyerahkan diri kita kepada Allah atau tunduk dan patuh tanpa bantahan kepada Allah. Maksud Islam yang lain juga bermakna kesejahteraan. Kedua-dua ini boleh kita kaitkan dengan firman Allah yang bermaksud:

" (Tidak demikian) bahkan sesiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebaikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." 2:112

Ini bermakna sesiapa yang menyerah diri kepada Allah, iaitu Islam, maka, sejahteralah dia dan tidakla dia bersedih hati, tiada resah gelisah. Makna Islam jika dilihat dari asalnya ialah aslama, ialah kata kerja, menyerah. Jadi, Islam menunjukkan tabiat, perlakuan. Islam ialah Ad-Din, CARA HIDUP.

Justeru Islam perlu hadir dalam hidup kita, setiap detik, setiap saat.

Justeru Allah perlu hadir di hati kita setiap detik, setiap saat. 

Justeru, perlakuan yang diniatkan kerana Allah perlu ada setiap detik setiap saat.

Justeru, pengabdian yang sebenar-benarnya terhadap Allah ialah melakukan segala yang diperintahNya dan meninggalkan segala yang dilarangNya.

Pengabdian yang membawa keredhaanNya.

Kerana hanya dengan penyerahan kepada Allah, hati kita bersih dari segala kekotoran, hawa nafsu, kepentingan...
Hanya dengan penyerahan kepada Allah, tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah terlaksana, sebagai umat contoh terlaksana....

Firman Allah SWT

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah" (3:110)

Betapa tingginya darjat manusia diangkatkan apabila memegang amanah daripada Allah ini, iaitu untuk membawa manusia kembali menyembah Allah SWT, untuk menyerahkan segala urusan kepadaNya, untuk berhakimkan kepada Al-Qur'an dan Sunnah.

Maka demi Tuhanmu mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya" (4:65)

Hanya dengan membawa manusia untuk bernaung di bawah sistem Al-Qur'an dan Sunnah, manusia secara keseluruhannya, umat Islam dan bukan Islam dapat dibebaskan daripada pengabdian kepada hawa nafsu, pengabdian kepada sesama manusia, pengabdian kepada kepentingan kaum, pengabdian kepada kepentingan diri, politik....

Jadi, jihad umat Islam bukan sahaja untuk mempertahankan umat Islam atau untuk membawa umat Islam berada di jalan Allah tetapi juga untuk mempertahankan manusia. Dalam perang Qadisiah, Rabi' bin Amir diutus kepada panglima Persia, Rustum dan Rustum bertanya kenapa kalian datang? Jawab Rabi', "Kami datang kepadamu untuk mengeluarkan kalian daripada kegelapan menuju cahaya, dari kesempitan dunia menuju kelonggaran dunia, dari kezaliman menuju keadilan. Rasul kami telah diutus dengan membawa kebenaran kepada seluruh umat manusia".

Tapi, zaman sekarang, kuasa pemerintahan belum jatuh kepada umat Islam dan lebih mirip kepada zaman di Mekah. Jadi, jihad lebih kepada membawa orang untuk menyembah Allah SWT dan tidak menyekutukanNya, memahamkan orang tentang Islam. Dan ini memerlukan ilmu, tenaga, harta, pengorbanan, amal dan organisasi.


Apabila menyedari bahawa kita hidup di dunia ini sebagai khalifah Allah, untuk menyeru manusia kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran, di situla kita akan merasakan suatu kuasa yang menolak kita untuk belajar, belajar dan belajar. Kuasa penolak itu tidak lain dan tidak bukan datangnya daripada niat kerana Allah. Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang mengetahui bahawa hanya apabila manusia menyerahkan diri kepadaNyalah, manusia akan sejahtera. Tidak ada sistem lain yang lebih hebat daripada sistem ini. bila kita belajar kerana takwa. Maka Allah akan mengajar kita melalui takwa. Di sinila, ilmu itu diberkati. Di mana hari yg pendek, namun terasa byknya ilmu yang diperoleh. Dengan kuasa Allah, semuanya mustahil.

Di sini, tidak sepatutnya timbul umat Islam yang lemah. Memang betul, ada hikmahnya di sebalik apa yang telah berlaku kerana Allah itu Maha Pengasih Penyayang. KetetapanNya adalah terbaik untuk kita. Tetapi, hakikat/takdir tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak belajar. Kerana kita belajar kerana Allah dan bukan kerana ditarik oleh apa yang akan berlaku. Apa yang akan berlaku itu, gagal/berjaya, kalah/menang, turun/naik, miskin/kaya, cacat/sempurna, mati/hidup, semuanya adalah apa yang Allah setuju anugerahkan kepada kita. Sesungguhnya, apabila kita ditimpa kesusahan, Allah ingin mengajar kita supaya daripada situ, kita dapat mengambil pelajaran. Allah mengajar, menguji kita bukan untuk main-main. Bagi saya, ujian itu, pengalaman itu juga sebagai proses mematangkan kita. Kerana, bukankah Allah ingin menjadikan manusia sebagai khalifahNya di muka bumi?

Tapi, Allah akan berikan ganjaran setimpal dengan apa yang kita usahakan. Jadi, jika kita inginkan kejayaan, perlulah kita berusaha bersungguh di jalan yang diredhai Allah. Apabila kita berjaya, hendaklah kita ingat bahawa usaha kita tidak ada kuasa untuk memberi kejayaan, tetapi Allah swt yg mengizinkan kita utk mengecapinya. Dan apabila kita menghadapi kegagalan, hendaklah kita ingat bahawa amalan kita tidak sia-sia kerana Allah menghargainya. 


Untuk akhiri, Rasulullah SAW pernah bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk dan harta kalian, tetapi melihat hati dan pekerjaan kalian" (HR. Muslim)



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...