Islamic Widget

Wednesday, August 31, 2011

Menanti Janji Tuhan Yang Pasti Berlaku !






Jika kita perhatikan, Banyak hadis-hadis dan juga ayat-ayat Al-Quran yang mengisyaratkan kemenangan Islam yang akan berlaku sebelum berakhirnya dunia ini. Sekalipun tidak diketahui bilakah secara tepatnya ia akan berlaku. Namun sejak akhir-akhir ini, banyak kejadian yang berlaku menunjukkan bahawa masa itu semakin hampir dan dekat. Tetapi yang pastinya sebelum berlakunya kiamat, pasti islam akan berada di takhta kuasa sekali lagi untuk menyebarkan keadilan keseluruh dunia. Di antara nas-nas yang mengisyaratkan perkara tersebut ialah :

1. Firman Allah S.W.T :
"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman diantara kamu dan yang mengerjakan amalan yang soleh bahawa dia(Allah) pasti akan menjadikan mereka berkuasa di atas muka bumi, sebagaimana
dia(Allah) telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan pasti dia(Allah) akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka"                            
                                                                                         (Surah An-nuur, ayat 55)

2. Sabda Rasulullah S.A.W :


"Tidak akan terjadi hari kiamat sehinggalah Nabi Isa turun (ke bumi) menjadi seorang hakim yang bijaksana dan pemimpin yang adil, menghancurkan salib, membunuh khinzir, mewajibkan jizyah, harta melimpah-ruah hingga tiada seorang pun yang menerimanya". 
                                                                     (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)


   Banyak lagi hadis-hadis lain yang menceritakan berkenaan janji Allah S.W.T bahawa islam akan kembali tegak di akhir zaman nanti. Ini bukannya satu retorik atau angan-angan kosong, realitinya boleh dilihat pada hari ini di mana sahaja. Minat masyarakat dunia ini terhadap islam semakin meningkat terutamanya setelah berlakunya serangan 11 September 2001, iaitu satu dekad yang lampau.


   Di sebalik label islam yang dikaitkan dengan keganasan, masyarakat Barat mula berjinak-jinak untuk mendalami islam yang sebenar. Antara respon pertamanya dapat dilihat pada akhbar Inggeris The Gurdian bertarikh 2 September 2002 melaporkan bahawa kebanyakan kedai menjual buku islam dan kursus perbandingan agama di universiti dikerumuni oleh orang baru yang non-Muslim untuk mempelajari prinsip-prinsip islam dan sejarah nabi-nabi terdahulu. Kadar penjualan Al-Quran terjemahan berbahasa Inggeris dalam masa 3 bulan setelah kejadian 11 September 2001 meningkat naik dengan mendadak. Manakala program-program dakwah mula disambut baik untuk memahami apa itu islam yang sebenar.


   Kini, kebangkitan Islam makin timbul apabila terjadinya isu kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin yang semakin hebat berlaku, masyarakat dunia kini sudah sedar bahawa Islam bukanlah punca terjadinya kehancuran dunia sekarang ini malah Islam kini di fitnah untuk mengkaburi mata masyarakat dunia yang masih jahil. Di samping itu, kebangkitan rakyat islam di Timur Tengah menjatuhkan para pemimpin yang zalim menunjukkan bahawa Islam kini sudah menunjukkan langkah-langkah awal kemenangan Islam yang dijanji oleh Allah. Tidak kurang juga di Malaysia itu sendiri, tidak seperti dulu-dulu, majlis-majlis ilmu sekarang ini disambut dengan amat baik terutama dalam pengajian bersama Ustaz Azhar Idrus.


   Hakikatnya, semakin kuat Islam ditekan, semakin ia meningkat naik. Semakin kuat diasak, semakin ia diterima masyarakat. Lihat sahajalah sunnah dakwah Rasulullah S.A.W di Mekah, apakah lagi tekanan yang tidak dikenakan terhadap baginda? Semuanya telah dilalui. Namun Allah S.W.T tetap mentakdirkan Islam tersebar ke seluruh dunia sehingga ke hari ini. Betapa hebatnya penyesalan yang akan dirasai oleh Abu Jahal dan Abu Lahab sekiranya mereka masih hidup dan menyaksikan kejayaan dakwah Rasulullah S.A.W hari ini.


   Namun, kemenangan islam tidak hadir dengan mudah dan percuma. Ia bukannya hadir dengan kata-kata dan ketukan keyboard atau semudah menekan butang share dan like di Facebook sahaja. Ia datang dengan bayaran mahal dari pejuang-pejuangnya.


   Andainya kemenangan itu semudah kata-kata, nescaya Islam ini akan dituruti oleh sebahagian besar manusia di dunia. Namun itulah dia sunnah Allah,kemenangan memerlukan kepada bayaran yang mahal. Bahkan Tuhan yang telah mentaklifkan perjuangan ini menyatakan :


"Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana(tidak begitu jauh), nescaya mereka(orang munafik) akan mengikutmu sedangkan tempat yang hendak dituju itu amat jauh bagi mereka."
                                                                                               Surah At-Taubah, ayat 42


   Justeru, perjuangan ini telah digazetkan oleh Allah S.W.T dengan rintangan-rintangan yang tersendiri. Ia tidak dijanjikan dengan hamparan permaidani merah kerana ia tegak di atas tulang-tulang para ulama' dan mujahid yang telah teerlebih dahulu berkorban nyawa. Apa yang pasti, natijah akhirnya pasti akan memberikan kemenangan kepada Islam dan para pendokongnya.


   Akhir kalam, apa yang berlaku di Mesir, Tunisia, Yaman dan selainnya hanyalah takbiratul ihram sahaja, ia hanya permulaan. InsyaAllah, sekarang ini rukuk dan sujud di seluruh Tanah Arab. Salamnya ?, insyaAllah di Baitul Maqdis nanti. Bertemu di sana nanti duhai saudara-saudaraku.

Sejarah Malam Lailatul Qadar : Janggut Lebih Keras Daripada Besi


Ni nak kongsi pembacaan saya dengan para pembaca, kisah ini diambil dari kitabMukashafah Al-Qulub(Penenang Jiwa) bab 103 karangan Imam Al-Ghazali....

   Wujudnya malam Lailatul Qadar apabila Rasulullah berdoa kepada Allah setelah melihat kehebatan seorang lelaki Bani Israil yang sentiasa menghunuskan pedang(berperang) membela agama Allah selama 1000 bulan(lebih kurang 83 tahun). Kerana terpegun akan kehebatan lelaki itu lalu Baginda berdoa :
"Ya Tuhanku, Engkau jadikanlah umatku lebih pendek umurnya dan lebih sedikit amalnya(amal yang sedikit, tapi ganjarannya besar)"

   Kemudian Allah memakbulkan doa Baginda dengan memberikan malam Lailatul Qadar kepada umat Nabi Muhammad S.A.W yang mana jika seseorang menghidupkan satu malam itu sahaja, ganjarannya lebih baik dari lelaki Bani Israil yang berjihad selama 1000 bulan itu.

Siapakah lelaki bani israil itu?


   Dikatakan bahawa nama lelaki itu ialah Syam'un, berperang dengan musuh selama 1000 bulan, tidak pernah kering bulu tengkuk kudanya dan sememangnya orang-orang kafir gerun untuk menghadapinya. Sehinggalah tiba satu pengkhianatan dari isteri beliau apabila ditawarkan oleh orang kafir sebuah bejana yang dipenuhi dengan emas jika berjaya mengikat suaminya itu.


   Pada satu malam, niat isterinya yang khianat itu untuk mengikat suaminya dengan tali berjaya dilaksanakan. Namun, ketika Sya'mun sedar daripada tidur dan menggerakkan badannya semua tali itu putus dengan mudah. Lalu beliau bertanya kepada isterinya : "Mengapa kau berbuat sedemikian ?". Lalu isterinya yang jahat itu menjawab: "aku hanya ingin menguji kekuatanmu sahaja". Lalu isterinya menceritakan hal itu kepada orang-orang kafir. Segeralah mereka memberi rantai besi kepada isteri yang jahat itu untuk mengikatnya sekali lagi. Namun, ikatan besi pada badan Syam'un diputuskan dengan amat mudah sahaja. Apabila isteri beliau ditanya, dijawabnya jawapan yang sama.

   Lalu menyamarlah Iblis sebagai manusia dan mendatangi orang-orang kafir dan isteri Syam'un yang sedang melaporkan gerak kerja yang gagal tersebut. Maka Iblis tersebut memberi cadangan agar isteri Syam'un bertanya kepada suaminya apakah benda yang mampu mengikatnya. "Helaian rambut yang tumbuh di dagu ku ini' jawab Syam'un dengan jujur kepada isterinya apabila ditanya. Memang tidak dinafikan bahawa Syam'un mempunyai 8 helai janggut yang amat panjang hingga ke tanah. Ketika beliau tidur, si isteri mengikat kaki dan tangannya dengan kelapan-lapan janggutnya tersebut. Kemudian orang-orang kafir membawanya ke tempat penyeksaan dan penyembelihan yang amat luas dan tingginya 400 hasta dengan 1 tiang. Maka bermulalah penyeksaan mereka dengan memotong kedua telinganya dan bibirnya.

   Kemudian Syam'un memohon kepada Allah S.W.T agar memberinya kekuatan untuk memutuskan ikatan dan dapat merobohkan tempat penyeksaan tersebut. Allah mengkabulkan doanya dengan berjayanya Syam'un melepaskan diri dari ikatan itu dan berjaya merobohkan tempat itu dengan menolak tiang yang membuatkan tempat itu tidak stabil lalu runtuh menghempap semua orang kafir kecuali Syam'un sahaja yang terselamat. kisah ini diambil dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas.

   Akhir kalam, adakah saudara tahu sejarah ini? malulah kita beribadah kepada Allah tanpa mengetahui sejarahnya. Seperti ibadah solat, kita tahu sejarah Baginda mendapat perintah solat pada malam isra' mikraj yang asalnya 50 waktu ditukar kepada 5. Semoga dengan tahunya sejarah Lailatul Qadar membuatkan kita bersungguh-sungguh untuk mencari malam yang lebih baik dari 1000 bulan tersebut.

Saturday, August 20, 2011

Duhai Hatiku



Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak.
Tapi..kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalah kita?

Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?

Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..

Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hambaNYA. Kita lupa kepada DIA yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang diberikan olehNYA. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda. Macam mana hati kita nak tenang?
Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...




“Dari Anas bin Malik RA, bersabda Rasulullah SAW: “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih dari cintanya kepada yang lain; siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi); dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (dari kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api.”
(HR. Muslim)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...