Assalamualaikum....
ADAKAH ORANG YANG ALLAH BERI KUASA, DIA GUNA UNTUK ANIAYA ORANG YANG BEKERJA DENGANNYA JUGA DIKIRA SEBAGAI ISTIDRAJ?
Utk dikongsi bersama.....
ISTIDRAJ
Minggu lepas, seorang kawan bertanya "Kenapa kadang kala kita lihat seseorg insan tu sentiasa dapat kegembiraan spt dapat naik pangkat, murah rezeki dll sedangkan dia tu selalu melakukan kemungkaran?".
So, seorang kawan lain pun jawablah yang kdg kala sesuatu anugerah Allah swt kpd seseorg individu tu bukanlah sebab Allah sayangkan hambanya itu tetapi kerana Allah nak tengok sejauh mana keikhlasan orang itu.
Allah nak tengok adakah hambanya itu akan menyedari bahawa Allah amat bermurah hati dengannya jadi sepatutnya dia bersyukur dan berubah menjadi baik. Tapi jika individu itu masih tidak reti bersyukur maka sesungguhnya dia telah menimbulkan kemurkaan Ar-Rahman.
Ada member tanya kenapa kdg2 kita dah banyak kali berdoa tapi belum dapat apa yang diimpikan. Ustazah kata itu tandanya Allah sayang pada kita. Sebabnya Allah tahu kalau kita lambat atau belum dpt yg diimpikan, kita akan terus berdoa dan mengingati Ilahi. Sebenarnya Allah amat rindukan suara hamba-hambaNya merayu dan memujiNya. Kalau sekali berdoa terus dapat, kemungkinan besar lepas tu kita kita taksub dan lupa utk bersyukur pd yg Esa.Tup-tup dpt pula artikel ni drp seorg rakan. A very relevant and interesting article. Semoga Allah beratkan timbangan ibadah kita drp timbangan dosa di Pdg Mahsyar nanti. InsyaAllah..
Apakah dia istidraj itu?
Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.
Rasullulah s.a.w. bersabda :" Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT ".
(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi).
Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.
Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.
Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.
Manusia istidraj
Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong".
Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat (sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.
Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati,namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.
Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang telinganya.
Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.
Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul,maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang/mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?
Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah.
Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah.
Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat
Kebodohan Yang Menjadi Istidraj
Istidraj itu luar biasa. Luar biasa bukan untuk mengangkat penerimanya. Ia adalah suatu keluarbiasaan yang membinasakan golongan yang menjamahnya. Keluarbiasaan yang menambah keburukan, kehinaan dan kebinasaan atas mereka yang menjamah keluarbiasaan itu, hingga sampai masa Allah binasakan mereka, ia berlaku dalam keadaan mereka lupa.
Istidraj itu luar biasa.
Luar biasa bukan untuk mengangkat penerimanya.
Ia adalah suatu keluarbiasaan yang membinasakan golongan yang menjamahnya.
Keluarbiasaan yang menambah keburukan, kehinaan dan kebinasaan atas mereka yang menjamah keluarbiasaan itu, hingga sampai masa Allah binasakan mereka, ia berlaku dalam keadaan mereka lupa.
Bukan sahaja mereka lupa dan tidak sedar, malah tatkala Allah menghukum mereka, tiada manusia yang membantahnya lantaran lengkapnya segala syarat untuk Allah membinasakan mereka. Tiada lagi ragu-ragu atas kejahatan mereka.
Itulah penangan istidraj.
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya. [Al-A'raaf : 182]
Istidraj datang beransur-ansur. Rupanya luar biasa. Tujuannya adalah binasa. Kebinasaan buat manusia yang menerimanya. Lantaran kejahatan dan kezaliman mendustakan ayat-ayat-Nya.
Sekumpulan manusia tidak pernah serik dengan kezaliman, penipuan dan kejelikan yang bertimpa-timpa. Kejahatan demi kejahatan, penyelewengan demi penyelewengan, salah laku yang sudah dianggap biasa… namun semakin buruk prestasi kumpulan itu, sokongan yang diterima semakin padu.
Sokongan yang luar biasa.
Kepatuhan yang tiada duanya.
Biar ditipu entah kali yang ke berapa.
Sokong terus sokong… tidak berganjak biar sehasta.
Sungguh luar biasa.
Namun bagi kumpulan zalim yang mendapat nikmat dari kedunguan sokongan yang dinikmatinya itu, segala ‘kemanisan’ itu mungkin sekadar ISTIDRAJ dari Allah untuk menyempurnakan kezaliman mereka.
Agar bila sampai masa Allah menghukum dan mengazab mereka… tiada manusia yang akan membantah, kerana telah sempurna syarat-syaratnya.
Daripada Nabi sallaLlahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Jika kamu melihat Allah memberi kepada seorang hamba habuan dunia atas maksiat yang dilakukannya dari apa yang disukainya, maka sesungguhnya itulah ISTIDRAJ”.
Lalu Rasulullah sallaLlahu ‘alayhi wa sallam membaca (surah al-An’aam ayat 44):
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). [Hadith riwayat Ahmad]
Mereka sangat zalim, tetapi mereka terus mewah dengan kemewahan yang luar biasa.
Mereka sangat menindas, tetapi mereka terus gembira dengan kegembiraan yang luar biasa.
Mereka sangat berdusta, tetapi mereka terus diangkat dan disokong dengan sokongan yang luar biasa.
Mereka sangat sombong, tetapi mereka terus dikasihi dengan sepenuh hati dengan kasih yang luar biasa.
Kezaliman, penindasan, pendustaan dan kesombongan mereka mendungukan manusia.
Marhaen jadi dungu, ilmuan jadi dungu, sarjana jadi dungu, manhaji jadi dungu. Sesiapa sahaja yang menyentuhnya beransur dungu. Kezaliman yang luar biasa, mencetuskan kedunguan yang luar biasa. Kezaliman yang dibalas istidraj oleh DiaSesungguhnya apakah kita mahu membuktikan, bahawa kita sebahagian dari kedunguan itu?
Apakah kita mahu kebodohan kita yang luar biasa ini untuk terus ditipu buat entah kali yang ke berapa, menjadi istidraj dari Allah untuk menyempurnakan kezaliman MEREKA? Lantas yang zalim dibinasakan Dia, kemudian yang cenderung kepada yang zalim disambar api Murka?
Semoga Allah menyelamatkan kita dari kebodohan yang luar biasa itu, sebelum kebodohan menyempurnakan asbab untuk BINASA.
Saya telah merujuk Kamus Al-Muhit karangan Al-Fairuz Abadi tentang asal perkataan "istidraj"ini. Pengarang kamus ini berkata:
" Istadrajahu- membawa makna ia menipu dan ia merendah-rendahkannya".
Jika dikata:" Istidrajullah al-abda"(Allah menIstidrajkan hambanya) membawa erti/makna setiap kali hambaNya (insan) membuat/ menambah/ membaharui kesalahan yang baru maka setiap kali itu juga Allah akan membuat/ menambah/ membaharui nikmatNya ke atas hambaNya itu dan setiap itu juga Allah membuatkan hambaNya itu lupa untuk memohon ampun atas dosa yang dilakukan terhadapnya dan setiap itu juga Allah akan mengambilnya sedikit demi sedikit(ansur-ansur) dan Allah tidak mengambilnya dengan cara yang mengejut!
Allah berfirman di dalam ayat 182 Surah Al-A'raf yang bermaksud(sila rujuk untuk kepastian) :"Orang2 yang mendustakan ayat-ayat Kami(Allah), nanti akan Kami { binasakan mereka itu dengan beransur-ansur } sedang mereka tidak tahu."
Cuba anda lihat maksud ayat Alquran yg berada di dalam isyarat { }. Itu adalah maksud "istidraj" yang sedang kita bincang sekarang. Iaitu ia membawa makna "Istidraj" suatu perkara yang di luar adat kebiasaan yang belaku terhadap seseorang insan bertujuan untuk membinasakan 'insan' tersebut dengan cara berangsur-ansur atau tidak disedari atau sedikit demi sedikit dan bukan mengejut. Jika kita beriman benar-benar pada Allah, Insya Allah takkan terjadi "istidraj" pada kita. Percayalah.. :)
Imam AlQurtubi telah berkata di dalam buku tafsinya yang bernama Tafsir Jamie' Al-Ahkam. Antaranya:-
Seorang ulamak tafsir yang bernama 'Add-Dhohhak' telah mengulas mengenaiayat 182 Surah Al-a'raf ini. Katanya: "Allah berfirman :Setiap kali mereka menambah/membuat/membaharui maksiat yg baru maka setiap itu Aku(Allah) membaharui/menambah/membuat nikmat ke atas mereka".
*** Dr.Abd.Qadir As-Sa'di(bekas pensyarah di Universiti Al al-Bayt, Jordan) telah berkata mengenai asal usul pemberian nama"Add-Dhohhak-ulamak tafsir" tadi : "diberi beliau nama tersebut kerana... beliau berada dalam kandungan ibunya selama 2 atau 4 tahun. Pabila dilahirkan beliau lahir dalam keadaan yang sudah pun bergigi(tumbuh gigi) dan pabila dilahirkan beliau terus ketawa". Subhanallah... begitulah keajaiban penciptaan Allah.
Ketika mana Tentera Islam mendapat harta Kisra(Maharaja Parsi) makaSaidina Umar Al-Khattab telah berkata: ["Wahai Tuhan! Aku ingin meminta perlindungan dari engkau dari menjadi orang yang mendapat "Istidraj" kerana aku mendengar Engkau berfirman(maksud ayat 182 Surah Al-A'raf) :Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami(Allah), nanti akan Kami binasakan mereka itu dengan beransur-ansur sedang mereka tidak tahu" ]
Istidraj: "diberi kepada mereka nikmat dan dihilangkan kepada mereka erti kesyukuran".
Professor Dr.Qahtan Ad-Duri(salah seorang pensyarah di Universiti Al al-Bayt, Jordan) telah berkata di dalam bukunya Usuluddin Al-Islami:
Al-Istidraj :-
Iaitu perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang Fasik atau Kafir sebagai tipu daya buat mereka. Ia akan menambahkan lagi kejahilan dan kebodohan mereka sehinggalah balasan Allah s.w.t menimpa mereka di dalam keadaan mereka lupa.
Allah s.w.t telah berfirman di dalam ayat 44 - 45 surah Al-An'am yang bermaksud: (sila rujuk untuk kepastian)
"Tatkala mereka lupa akan apa yg diperingatkan kepada mereka, Kami bukakan bagi mereka beberapa pintu tiap-tiap sesuatu (nikmat dan kesenangan), sehinggalah apabila mereka telah bersuka ria dengan (kesenangan)yang mereka perdapat itu, lalu dengan se-konyong-konyong Kami siksa mereka, sehingga mereka berputus asa." -44- "Maka dihapuskanlah akhirnya kaum yang aniaya; dan pujian-pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam" -45-
Rasulallah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Apabila kamu melihat Allah memberikan kepada seorang hambaNya di dunia ini apa yang hamba itu suka atau berhajat, sedangkan hambaNya itu tetap dalam kemaksiatannya maka itulah ISTIDRAJ". Selepas itu Rasulallah s.a.w pun membaca ayat tadi 44- 45 (surah Al-An'am) yang bermaksud... (sila rujuk makna ayat 44 dan 45 pada perenggan yg tersebut tadi).
Tamat Cerita "Istidraj". Semoga anda faham dan berwaspada atau berhati-hati dalam setiap langkah anda !!
petikan daripada http://cintaiindah.blogspot.com/2010/11/kadang2-apa-yang-kita-dapat-itu.html
untuk memahami lebih lanjut sila ke link ini http://www.al-azim.com/~beringin/agama/istidraj.htm


No comments:
Post a Comment